CCTV

Dikirim September 19, 2007 oleh cikgulee
Kategori: ICT, Ragam Kita

 

Selepas kes pembunuhan seorang Pembantu Menteri Sabah wanita di sebuah hotel terkemuka di Kota Kinabalu. Hotel tersebut telah dilengkapi dengan kemudahan televisyen litar tertutup atau CCTV (Closed Circuit Television). Walaupun pemasangan CCTV di hotel tersebut tidak dapat membantu penyelesaian kes pembunuhan yang pernah menjadi bualan kedai kopi tetapi ia sekurang-kurangnya telah memberi amaran kepada mereka yang ingin melakukan perkara-perkara yang tidak baik di hotel tersebut. Dengar khabar langganan kamar di hotel tersebut bertambah selepas kes pembunuhan itu.

 

Tayangan video yang diperolehi daripada CCTV Seri Pentas TV3 suatu masa dahulu telah memberikan gambaran sebenar kepada orang ramai dakwaan seorang biduanita bahawa dia telah diserang. Mungkin ceritanya akan berakhir dengan plot yang berbeza tanpa kehadiran CCTV yang menghala ke arah tempat letak kereta pejabat penyiaran tersebut.

 

Dalam beberapa kes rompakan, CCTV telah dapat membantu pihak polis menyelesaikan kes dengan lebih cepat dan tepat. Contohnya seorang perompak pengurup wang di Tawau telah dapat ditangkap polis dengan pantas kerana muka dan perbuatan tersebut terakam dalam video CCTV.

 

Pemasangan CCTV di pintu masuk dan keluar stesen keretapi bawah tanah di London telah membantu pihak berkuasa mengesan pengganas yang cuba meletupkan setesen tersebut. Begitu juga dengan rakaman video yang diperolehi daripada CCTV yang lain yang telah membantu pihak berkuasa menyelesaikan atau sekurang-kurangnya memberikan tanda-tanda positif kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.

 

Ini adalah di antara beberapa contoh kejayaan atau kebaikan pemasangan CCTV di tempat-tempat tertentu. CCTV yang dipasang di tempat-tempat yang strategik telah dapat mencegah berlakunya jenayah dan juga dapat mengesan dan menjejak pesalah. Dalam banyak kes perbicaraan mahkamah rakaman daripada CCTV telah digunakan sebagai bukti. Jika perbuatan tertuduh dirakamkan dalam video CCTV adalah sukar untuk memberikan sebarang alasan bagi menidakkannya.

 

Melihat kepada kejayaan ini, tidak hairanlah banyak pihak berlumba-lumba membuat cadangan untuk memasang CCTV. Malah pada suatu ketika CCTV dianggap seolah-olah penyelamat dan penyelesai masalah salah laku dan jenayah.

 

Walaupun harga CCTV sekarang jauh lebih rendah daripada harganya semasa pengenalan tetapi pemasangannya masih memerlukan belanja yang besar. Apatah lagi jika ia dipasang di suatu kawasan yang luas. Kita memerlukan sambungan wayer yang banyak dan kamera serta monitor yang banyak.

 

Apa yang lebih penting sebenarnya ialah apakah dengan pemasangan CCTV telah dapat mengatasi masalahnya? Atau apakah CCTV telah membantu dalam mencapai matlamat yang sebenar. Apakah tujuan sebenar pemasangan CCTV, untuk mengikut aliran organisasi lain, untuk kemegahan atau tidak tahan dengan pujukan dan sogokan pembekal?

 

Ramai yang tidak sedar bahawa pemasangan CCTV bukan semudah dan seringkas yang kita fikirkan. Kita semua hanya melihat kepada kisah-kisah yang menunjukkan kebaikan penggunaan CCTV tetapi gagal melihat kesan di sebaliknya. Kita lebih mengutamakan cirri-ciri yang dipamerkan dalam iklan yang semestinya hanya akan menunjukkan kebaikan dan tidak akan menunjukkan kelemahannya.

 

Banyak kajian menunjukkan bahawa pemasangan CCTV sebenarnya menjadikan kita lebih leka, malas dan kurang mengambil berat tentang keselamatan. Kita menaruh harapan terlalu tinggi terhadap CCTV yang dianggap boleh mencegah jenayah. Ada juga beranggapan bahawa sekalipun jenayah berlaku penjenayah akan dapat ditangkap dengan adanya CCTV. Dengan tanggapan dan pandangan yang demikian, sikap waspada dan berhati-hati kita dilupakan dan diserahkan bulat-bulat kepada CCTV yang belum tentu lebih bijak daripada kebijaksanaan akal fikiran manusia.

 

Tanggapan umum ialah pemasangan CCTV akan dapat mengurangkan berlakunya jenayah kerana penjenayah ingin mengelakkan daripada terakam aksinya dalam CCTV. Pada hakikatnya kadar jenayah tidak berkurangan dengan adanya CCTV tetapi jenayah itu berpindah ke tempat yang tidak dipasang dengan CCTV. Jenayah tetap akan berlaku.

 

Satu lagi perkara yang kita sering kali lupa ialah kita beranggapan bahawa orang yang melakukan jenayah adalah lebih bodoh daripada kita. Kita beranggapan bahawa orang yang terpelajar dan orang yang pandai akan mencari rezeki secara halal. Wal hal penjenayah hari ini terdiri daripada pelbagai golongan, pengganggur, pekerja mahupun profesional. Dalam banyak kes perancangan penjenayah jauh mengatasi pemikiran dan andaian kita.

 

Buktinya, banyak rumah orang kaya, berpangkat dan berkuasa (tentu mereka lebih bijak daripada kita) tetap dimasuki pencuri dan sehingga hari ini pencurinya belum lagi tertangkap! Malah mereka yang menjadi penguatkuasa dan terlibat secara langsung dengan pencegahan jenayah tetapi menjadi mangsa kecurian, rompakan dan pecah rumah.

 

Buktinya pengganas yang melenyapkan bangunan Pusat Dagangan Dunia New York. Siapa terfikir mereka akan menggunakan bahan bakar dalam pesawat untuk meletupkan bangunan tersebut? Jangankan kita orang biasa terfikir malah Amerika Syarikat sendiri yang terkenal dengan pelbagai sistem radar yang canggih serta perisik FBI terhandal di dunia turut tidak terfikir. Kehebatan dalam filem keluaran Amerika nampaknya belum teruji dan terbukti di alam nyata.

 

Kesimpulannya, penjenayah tidak sebodoh yang kita sangkakan.

 

Beberapa tahun yang lalu sebuah bank telah dimasuki pencuri sehingga pencuri sempat melarikan semua kandungan dalam peti simpanan. CCTV bank tersebut tidak merakamkan sebarang aksi yang mencurigakan atau yang boleh membantu pihak polis membuat siasatan. Insiden ini menyebabkan pihak bank mengambil langkah mengurangkan pampasan yang akan dibayar kepada pelanggan mereka yang menggunakan khidmat peti simpanan sekiranya berlaku kecurian atau kehilangan. Ia juga memaksa orang ramai mencari jalan lain untuk menyimpan barang-barang berharga mereka. Ini membuktikan sistem keselamatan yang menggunakan CCTV belum lagi selamat.

 

Kecurian cip komputer terbesar di Pulau Pinang suatu ketika dahulu juga menimbulkan kesangsian terhadap sistem keselamatan dan kesahihan CCTV yang telah dipasang. Jika apa yang berlaku di gudang gagal dirakamkan dalam CCTV ini bermakna CCTV itu langsung tidak berguna. Jika CCTV tidak dapat memberikan maklumat dan amaran yang sepatutnya, apakah ini bukan satu kegagalan CCTV. Atau apakah ini bukan kegagalan dan kecuaian pihak pengurusan?

 

Dalam banyak kes, kegagalan CCTV adalah berpunca daripada pengguna itu sendiri. Pertamanya mereka tidak memasang CCTV di tempat yang tepat yang boleh merakamkan pergerakan sekitar dengan jelas biar pada waktu siang atau malam. Tanpa memasang kamera pada tempat yang strategik, pemasangannya akan menjadi sia-sia dan sekadar menjadi kemegahan semata-mata.

 

Keduanya, sama ada sistem CCTV yang digunakan mempunyai ciri rakaman. Jika menggunakan CCTV tanpa fungsi rakaman adakah ada pengawal yang memerhatikan apa yang berlaku di setiap sudut melalu kaca monitor?

 

Ketiganya, jika CCTV tersebut mempunyai fungsi rakaman, adakah rakaman itu dibuat sepanjang masa atau memilih waktu-waktu tertentu sahaja untuk membuat rakaman? Jika rakaman 24 jam dibuat sekerap mana rakaman itu ditonton semula dan selama mana pula rakaman tersebut akan disimpan sebelum dilupuskan. Tanpa ditonton semula rakaman yang dibuat apa bezanya dengan menggaji pengawal keselamatan yang tidur semasa bertugas?

 

Kita harus sedar bahawa penggunaan CCTV hanyalah satu langkah tambahan dalam memantapkan lagi sistem keselamatan, kawalan, pemantauan atau pencegahan kita. Ia sekali-kali tidak menjadi alternatif atau pengganti kepada sistem yang sedia ada.  Jika tahap waspada kita menjadi kurang kerananya adanya CCTV maka itu adalah satu perkara yang amat menyedihkan.

Ini sekali lagi memperlihatkan sikap kita yang terlalu mengharapkan orang lain. Kita menjadi terlalu bergantung kepada orang lain. Kisahnya samalah dengan mengharapkan orang lain menjalankan tugas dan tanggungjawab bagi pihak kita atau mengupah pengawal murah untuk menjaga harta bernilai berjuta-juta ringgit.

 

Maka itulah peluang yang sengaja kita wujudkan untuk membolehkan berlakunya keadaan pagar makan padi, lawan taukeh, makan gu, penipuan serta penyelewengan yang lain. Apa tidaknya, jika kes curi, rompak, ragut dan rogol sering kali ada kelainan cara dan kaedah sedangkan pengawalan, pencegahan dan pemantauan masih terhenti pada tahap lama. Apa guna ada pengalaman 50 tahun tetapi pendekatan yang sama tetap digunakan tanpa mahu berubah. Dengan adanya CCTV maka semua pemantauan menjadi begitu rigid, kaku dan monotonus. Ini memudahkan orang-orang yang berkepentingan untuk mengambil kesempatan.

 

Ada pihak sekolah yang kononnya bagi mengawal kelakuan pelajar maka CCTV dipasang di merata tempat dalam kawasan sekolah. Sekali pandang usaha itu memang baik. Sayangnya sehari selepas CCTV dipasang didapati banyak kamera yang sama ada rosak atau hilang. Puncanya pemasangan di tempat yang terlalu rendah sehingga boleh dicapai tangan dengan mudah. Lalu dilaporkan pengetuanya marah-marahkan pelajarnya yang tidak bertanggungjawab. Bagi saya pihak sekolah sendiri yang telah melupakan tanggungjawab mereka.

 

Pelajar-pelajar dihantar ke sekolah supaya dapat dibentuk menjadi seorang insan yang seimbang, baik dari segi akademik mahupun moralnya. Itulah apa yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Negara. Pembentukan sikap memerlukan didikan bukan sekadar arahan dan perintah. Dengan pemasangan CCTV di sekolah ia tidak ubah seperti menganggap pelajar-pelajar sekolah sebagai pekerja kilang atau lebih teruk lagi produk dalam kilang yang boleh diawasi melalui kamera CCTV dan monitor. Pengetua dan guru-guru hanyak duduk di dalam pejabat samabil memerhatikan monitor yang menayangkan pelbagai gambar daripada kamera yang berbeza. Itu kalau ada pemantau melalui CCTV.

 

Didikan di sekolah melibatkan sama bimbingan, nasihat, pemupukan nilai-nilai murni, semangat setia kawan, kepimpinan melalui teladan dan banyak lagi yang semuanya memerlukan sentuhan kemanusiaan atau persemukaan manusia semasa manusia. CCTV hanyalah alat bantuan dalam kawalan tetapi bukan pengganti kepada Pengetua, Guru Disiplin, Guru Kaunseling dan pengawal keselamatan.

 

Kalau pihak sekolah beranggapan pemasangan CCTV akan meringgankan kerja guru maka ia adalah satu kesilapan besar. Ini bermakna kita telah melepaskan tanggungjawab kita sebagai seorang guru dan kita telah menyerahkan penjagaan pelajar-pelajar kepada mesin dan robot.

 

Sedar atau tidak masyarakat pada hari ini banyak bergantung kepada CCTV sama ada secara langsung atau tidak. Ada pemimpin yang tidak turun padang tetapi memantau dari pejabat hawa dingin di atas kerusi berputar-putar. Pantauan terhad kepada beberapa monitor yang ada dan mana-mana monitor yand diplih secara rambang. Kadang-kadang pantauan tidak dilakukan langsung selagi tidak dipersoalkan oleh pihak media atau dibangkitkan dalam blog internet.

 

Ada pula penguatkuasa sekadar menunggu laporan untuk bertindak tetapi tidak mengambil inisiatif mencari jalan bagi mencegah sesuatu jenayah atau salah laku daripada berlaku. Pihak penguatkuasa sepatutnya lebih proaktif dalam usaha mencari jalan untuk mencegah dan bukannay menunggu masalah timbul barulah mencari jalan untuk menyelesaikan masalah.

 

Alangkah baiknya jika pihak penguatkuasa dapat bersikap seperti pencuri, perompak, perogol dan peragut yang sentiasa mencari jalan baru untuk melakukan jenayah. Maka pihak penguatkuasa boleh juga sentiasa mencari jalan dan ikhtiar untuk mencegah sebarang kemungkinan dan sentiasa bergerak selangkah lehih cepat daripada penjenayah, bukannya ketinggalan beberapa langkah di belakang penjenayah.

 

Pemasangan CCTV yang tidak dipantau sama seperti mata kita yang celik tetapi tidak nampak akan apa yang berlaku di sekeliling kita. Biarpun kepincangan, kemungkaran dan keruntuhan berlaku di hadapan kita, kita tidak mengambil tahu. Apa gunanya ada mata tetapi tidak nampak, ada telinga tetapi tidak dengar, ada mulut tetapi bercakap yang bukan-bukan macam orang gila.

Mengukur baju biarlah pada badan sendiri. Kalau ingin meniru biarlah meniru dengan bijaksana jangan menjadi pengikut babi buta.

Kalau berbelanja biarlah berpada-pada jangan boros mentang-mentang diamanahkan wang rakyat. Hutang akan tetap dituntut. Kalau belum dituntut ertinya masanya belum tiba.

Kucing dan Harimau

Dikirim September 13, 2007 oleh cikgulee
Kategori: Ragam Kita

Bagi mereka yang sudah lama menggunakan email tentunya banyak menerima pelbagai email yang membuat berbagai-bagai tawaran istimewa. Semua tawaran ini cukup menarik sehinggakan kita amat teringin untuk mencubanya.

 

Di antara tawaran yang paling popular ialah skim cepat kaya. Caranya mudah dan sekali imbas cukup logik. Kita diminta mendaftar menjadi ahli dengan bayaran sejumlah wang sebagai pelaburan asas. Selepas itu kita dikehendaki memperkenalkan skim ini kepada 8 orang yang lain dengan pelaburan yang sama. Cara ini diteruskan.

 

Jika orang yang kita perkenalkan itu berbuat seperti yang dikehendaki maka kita mungkin mendapat pulangan wang yang jauh lebih tinggi daripada pelaburan asal kita. Dengan pulangan yang diperolehi kita menjadi yakin dan ia dijadikan modal serta bukti untuk kita terus memperkenalkan skim ini kepada ramai orang lagi. Pada masa yang sama kita juga turut menambahkan pelaburan kita. Apa tidaknya sebab memang terbukti dengan pelaburan yang sedikit kita memperolehi keuntungan yang banyak tanpa perlu banyak kerja.

 

Masalahnya timbul apabila ada di antara orang di barisan bawah kita yang tidak melakukan seperti yang dikehendaki. Maka proses pembinaan piramid ini akan terbantut. Maka tidak ada orang yang akan mendapat pulangan kecuali ketua atau pengasas skim ini. Dalam keadaan seperti ini pengasasnya akan menghilangkan diri dengan semua pelaburan kita. Pada waktu ini jugalah pelabur-pelabur menyedari mereka tertipu dan membuat laporan polis. Maka terbongkarlah satu lagi skim cepat kaya.

 

Biar apa nama, apa alas an dan apa cara dilakukan serta berapa banyak wang yang dimasukkan, modus operandi skim ini sama sahaja. Ia bukan satu pelaburan. Tidak ada sebarang wang daripada pelaburan kita yang digunakan untuk membeli saham, tanah, atau menyertai perniagaan. Semuanya satu pembohongan dan penipuan yang telah dialas dengan begitu rapi, indah dan menarik.

 

Ada juga di antara kita yang menerima email daripada orang yang tidak dikenali daripada negara Afrika. Mereka mengakui telah mewarisi sejumlah wang yang besar tetapi tidak dapat dikeluarkan melainkan ada pihak ketiga yang dapat membantu dengan meminjamkan akaun bank. Ceritanya amat seakan-akan kisah benar kerana dikaitkan dengan orang-orang tertentu yang memang wujud dalam sejarah dan berita.

 

Jika tergerak hati kita untuk membantu, atau niat tamak kita untuk mendapatkan sebahagian harta itu lalu membalas emailnya, maka penipuan akan bermula. Caranya mudah sahaja untuk mendapat katakan 30% daripada wang warisan bernilai berjuta-juta ringgit, kita dikehendaki membayar sejumlah wang sebagai bayaran pemprosesan dan penyediaan dokumen. Ia nampaknya logik kerana jika kita meminta perkhidmatan peguam untuk menyediakan kontrak kita juga perlu membayar.

 

Masalahnya timbul sesudah bayaran telah dibuat. Apa-apa berita selanjutnya terus lenyap dan nombor telefon yang biasanya mudah dihubungi tidak lagi dapat ditembusi. Apabila membuat carian melalui internet barulah kita sedar bahawa kita telah tertipu kerana surat atau email yang sama wujud dalam laman web penipuan.

 

Cara yang sama juga digunakan melalui pelbagai penipuan sms. Syarat semua penipuan ini sama saja iaitu kita perlu membuat pembayaran pendahuluan untuk mendapatkan hadiah atau wang yang jauh lebih besar jumlahnya.

 

Pada fikiran kita, bayaran pendahuluan itu adalah umpan untuk mendapatkan ikan besar atau keuntungan besar. Bagi pakar penipuan, mereka hanya berminat kepada umpan dan bukannya ikan. Email atau sms yang sama dihantar kepada beribu-ribu orang di seluruh dunia. Jadi umpan-umpan yang beribu-ribu yang terkumpul jauh lebih lumayan dan bernilai daripda seekor ikan besar.

 

Kita tertipu kerana beranggapan bahawa dengan harta warisan yang begitu besar tidak mungkin dia berminat dengan wang pendahuluan yang begitu sedikit. Inilah kelemahan kita sedangkan harta warisan itu sememangnya tidak wujud. Yang wujud cuma rekaan cerita yang begitu bijak. Ada yang beralaskan agama dan nama Tuhan untuk tujuan menipu. Mereka sanggup lakukan apa saja untuk menipu.

 

Saya sendiri pernah ditawarkan peluang perniagaan oleh seorang wanita Afrika. Katanya ada pelanggan bapanya dari England yang dating ke Malaysia pada setiap bulan bagi membeli sejenis ubat yang boleh mencepatkan tumbuhan binatang ternakan. Saya ditawarkan menjadi orang tengah yang mengeluarkan modal untuk membeli ubat tersebut dengan harga murah kemudian menjualnya kepada pelanggan bapanya dengan harga berlipat kali ganda.

 

Walaupun terasa sangsi saya bersetuju untuk bertemu bagi membincangkan peluang perniagaan ini. Orang yang datang bertemu dengan saya bukan wanita yang menghubungi saya tetapi seorang lelaki lain yang kononnya datang dari Kenya. Dia tidak kelihatan seperti ahli perniagaan. Cara duduknya yang meletakkan sebelah kaki di atas penyandar kerusi telah memberikan isyarat bahawa saya sedang berada dalam satu perangkap.

 

Bagaimanapun saya berpura-pura berminat terhadap tawaranya dan bertanyakan beberapa soalan tentang sumber produk, cara pembayaran, jaminan pembeli dan jaminan mutu. Ternyata dia tidak dapat memberikan kepastian semua soalan saya tetapi berulang kali meminta saya mempercayainya. Asalkan saya sanggup membeli ubat itu terlebih dahulu pelanggan dari England pasti membeli.

 

Dari situ saya telah dapat mengesan bahawa yang dia berminat bukan keuntungan daripada penjualan ubat kepada pelanggan dari England tetapi dia akan mendapat keuntungan daripada pembelian ubat. Saya memberikan beberapa alas an lalu meminta diri.

 

Beberapa minggu selepas itu saya terbaca dalam akhbar bahawa ada orang tertipu oleh mereka. Memang sah jangkaan saya bahawa sasarannya adalah kepada pembelian ubat dan bukan kepada penjualannya nanti. Mereka telah menyediakan rangkaian hubungan yang melibatkan orang yang membuat tawaran peluang perniagaan, pembekal dan pembeli. Semua nama dan nombor telefon diberikan jika kita ingin mendapatkan kepastian. Ini satu sindiket penipuan terancang.

 

Penipuan sebenarnya berlaku di mana-mana sahaja. Ada saja kaedah baru dalam komunikasi manusia maka adalah cara penipuan yang telah diberikan nafas baru seperti lagu klasik dinyanyikan secara moden. Maka penipuan cepat kaya akan berubah wajah dan muncul dengan pakej dan jenama baru untuk mencari mangsa yang baru. Jika kita tidak berfikir panjang kita akan tertipu.

 

Dalam banyak-banyak penipuan, ada juga cara penipuan yang tidak berubah wajah. Penipuan ini bukan calang-calang penipuan kerana ia melibatkan wang yang amat besar dan melibatkan orang besar. Penipuan ini berlaku berulang tahun tetapi belum ada tindakan diambil sehingga sekarang.

 

Bayangkan sebuah institusi kerajaan. Biasanya pembelian kemudahan atau perkhimatan adalah dilakukan melalui LPO (Local Purchase Order). Tawaran untuk sebut harga dikeluarkan kepada pembekal-pembekal yang berdaftar. Selepas harga ditetapkan maka pesanan dibuat melalui LPO. Barangan dan perkhidmatan akan dihantar. Pihak berkuasa institusi tersebut akan membuat semakan terhadap barangan atau perkhidmatan yang dihantar dan membuat pengesahan penerimaan. Dengan pengesahan ini pembekal akan membuat tuntutan pembayaran. Tuntutan ini akan dimajukan kepada pihak bagi penyediaan bayaran kepada pembekal.

 

Ini adalah proses biasa yang semua orang tahu. Tidak ada salahnya proses ini. Dari dulu hingga sekarang proses dan prosidur ini tidak pernah berubah. Ini membolehkan penipuan dibuat.

 

Modus operandinya mudah sahaja. Pihak institusi biasanya mempunyai senarai pembekal terpilih. Harga yang ditawarkan oleh pembekal terpilih ini biasanya jauh lebih tinggi daripada harga pasaran.  Alasannya pembayaran melalui pesanan LPO agak lewat jadi bunga terpaksa dimasukkan dalam hitungan harga. Kadang-kadang sebut harga palsu juga disertakan yang menawarkan harga yang lebih tinggi sekadar untuk menunjukkan bahawa keputusan dibuat berdasarkan harga terendah.

 

Hakikatnya, harga sengaja dinaikkan untuk memasukkan keuntungan tambahan yang boleh dikongsi dengan orang yang membuat pesanan. Keuntungan ini mungkin dalam bentuk wang ringgit yang dibayar secara tunai ataupun dalam bentuk pakej pelancongan, penginapan hotel, wang saku perjalanan, elaun hiburan dan banyak lagi. Asalkan ada permintaan semuanya bisa diatur.

 

Semua bentuk bayaran atau habuan diatur sepenuhnya oleh pembekal yang memang cukup mahir dalam corak permainan ini. Orang yang membuat pesanan cuma bertanggungjawab membuat pesanan, bersetuju dengan harga dan membuat pengesahan penerimaan biarpun dengan harga yang tinggi, biarpun dengan kuantiti yang kurang daripada yang sebenarnya.

 

Kes-kes penipuan seperti ini pernah dibawa ke mahkamah tetapi kebanyakannya melibatkan jumlah wang yang kecil dan melibatkan orang yang tidak berkuasa atau sekadar menjadi kambing hitam. Kes-kes yang lain tidak pernah timbul kerana kedua-dua pihak pembeli dan pembekal bekerjasama erat dan memegang kepada ikatan janji untuk menyimpan rahsia. Apatah lagi ia adalah situasi menang-menang yang menguntungkan kedua-dua pihak. Pihak ketiga tidak perlu mengetahuinya.

 

Dalam keadaan seperti inilah harga sebatang pen bernilai RM5 boleh dijual kepada badan kerajaan dengan harga RM50. Pesanan biasanya besar kuantitinya. Selain daripada itu jika 1,000 batang pen dipesan mungkin hanya 800 batang sahaja yang dihantar. Selagi pembeli sanggup membuat pengesahan penerimaan usah kata 800 batang biar tanpa sebatang pen dihantar bayaran tetap akan diterima.

 

Cuba kita buat hitungan pesanan pen tadi. Katakan kos sebangan pen ialah RM3 dan harga pasaran ialah RM5. Harga jualan kepada badan kerajaan ialah RM50. ini bermakna keuntungan sebanyak RM47 untuk sebatang pen. Untuk pesanan 1,000 batang ia mendapat kentungan sebanyak RM47,000. kalau pembeli dan pembekal menerima 50% daripada keuntungan itu, setiap orang akan menerima RM23,500.

 

Itu cuma hitungan kepada sebuah institusi sahaja. Apa kata jika orang tersebut juga membuat keputusan untuk membuat pembelian bagi cawangan diseluruh Negara melalui sistem pembelian berpusat?  Kalau 10 cawangan membuat pembelian yang sama, si pembeli dan pembekal masing-masing akan mendapat RM230,000 dengan hanya membuat satu transaksi perniagaan. Keseluruhan proses ini mungkin mengambil masa kurang daripada 3 bulan.

 

Untuk menambah keuntungan mungkin pen berkualiti rendah dibekalkan dengan kos yang jauh lebih rendah. Bagi mereka yang lebih berani jenama turut diubah sehinggakan lembu punya susu sapi dapat nama. Kalau semua orang diam-diam siaplah tahu?

 

Apakah anda melihat ini sebagai satu perniagaan pakatan bestari atau satu penipuan yang meminum darah rakyat? Apakah semua ini benar-benar berlaku? Jika ada siasatan yang berani dan menyeluruh, ceritanya jauh lebih menarik dan jauh daripda jangkaan dan tekaan kita.

 

Ringkasnya penipuan berlaku di mana-mana. Ada yang kecil ada yang besar. Ada yang kelihatan, ada pula yang tersembunyi. Ada yang membuatkan orang marah lalu membuat laporan. Ada pula yang membuatkan orang takut untuk membuat sebarang komen.

 

Di antara kucing dan harimau apa bezanya? Satu kecil satu besar. Satu makan tikus dan satu lagi makan kambing. Satu jinak satu garang. Satu kita berani mendekatinya satu lagi kita taku kalau terlepas. Hakikatnya kucing dan harimau sama saja, daripada keluarga yang sama.

 

Biasanya kita hanya menangkap kucing kalau makan ikan kita apatah lagi kalau kucing kurap. Maklumlah lebih kecil dan lemah. Sebaliknya cubalah tangkap harimau. Biarpun bilangan harimau tidak sebanyak kucing tetapi sekali harimau menyerang habis satu kampung. Sampai bila kita hendak melihat harimau terus bermaharaja lela?

 

Kalau dibiarkan harimau terlepas, kucing-kucing tidak akan tangkap tikus lagi. Semua kucing makan ikan, ikan terhidang!


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.